“Glamorosa Exhibitions and Performances 2025”, Menyerlahkan Bakat dan Kreativiti Pelajar KPMAIWP

“Glamorosa Exhibitions and Performances 2025”, Menyerlahkan Bakat dan Kreativiti Pelajar KPMAIWP

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Acara “Glamorosa Exhibitions and Performances 2025” telah berlangsung dengan penuh meriah, menampilkan hasil karya pelajar-pelajar Diploma Teknologi Fesyen (DTF) Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), di bawah Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP). Program tahunan ini merupakan kemuncak projek akhir bagi pelajar DTF sesi 2024–2025, yang telah menamatkan latihan industri dan kini mempersembahkan koleksi rekaan mereka yang sarat dengan kreativiti, inovasi dan gaya kontemporari.

Sebanyak 13 koleksi eksklusif diperagakan, mempamerkan keunikan idea dan ketelitian kerja tangan pelajar dalam menghasilkan rekaan yang bukan sahaja memenuhi kehendak industri fesyen semasa, malah mencerminkan kehalusan seni serta identiti tersendiri mereka sebagai pereka muda.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, yang turut menyampaikan hadiah kepada pelajar yang menghasilkan rekaan terbaik. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga atas pencapaian para pelajar serta menegaskan bahawa program seperti ini menjadi platform penting dalam melahirkan bakat baharu yang mampu menyumbang kepada industri kreatif negara.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Puan Nor Azizah binti Abdullah, Pengetua IKB; Ts. Rohaya binti Sulong, Timbalan Pengetua merangkap Ketua Program DTF; serta Ts. Jamalruddin bin Haji Zamahuri, Ketua Program Ijazah (Kepujian) Rekaan dan Rekaan Fesyen, TAR UMT. Kehadiran mereka menyerikan lagi majlis yang penuh warna-warni dan bermakna itu.

“Glamorosa Exhibitions and Performances 2025” bukan sekadar sebuah pertunjukan fesyen, tetapi simbol dedikasi, ketekunan, dan semangat inovatif pelajar IKB dalam menjadikan dunia fesyen sebagai medan untuk menonjolkan keindahan seni dan kecemerlangan kreativiti.

 

Tarikh: 14 Julai 2025
Sumber: Bahagian Perancangan Strategik & Komunikasi

 

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.