KPMAIWP TERIMA SUMBANGAN RM16,500 DARIPADA AG NUTRITION INTERNATIONAL UNTUK PENDIDIKAN ASNAF

KPMAIWP TERIMA SUMBANGAN RM16,500 DARIPADA AG NUTRITION INTERNATIONAL UNTUK PENDIDIKAN ASNAF

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2025 – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) telah menerima sumbangan RM16,500 untuk pelajar-pelajar asnaf daripada AG Nutrition International yang disampaikan dalam sebuah majlis di Dewan Kuliah 1, KPMAIWP, Maluri hari ini.

Majlis ini adalah anjuran bersama oleh AG Nutrition Foundation, Ikhlas.com dan KPMAIWP di bawah program ‘AG Cares: Future Ready’ yang bermatlamat untuk membantu para pelajar dari keluarga asnaf.

Hadir untuk menyampaikan sumbangan ini adalah Dato’ Iskandar Halim Sulaiman, Pengerusi AG Nutrition International dan beliau disertai oleh Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Imran Ismail, Pengurus Besar, Islamic Services & Lifestyle, Ikhlas.com, serta pengasas AG Nutrition International, Faiz Salleh dan Hafiz Salleh.

Seramai 25 orang pelajar KPMAIWP menerima sumbangan wang tunai RM300 seorang dan lima (5) orang pelajar menerima sumbangan komputer riba, termasuklah pelajar antarabangsa daripada Azerbaijan dan Kemboja.

Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP dalam ucapannya berkata, “Inisiatif korporat seperti ini pastinya membawa makna yang amat besar kepada para pelajar kerana mereka perlu sedar bahawa mereka bukannya berseorangan dalam perjalanan menuju kejayaan dalam pelajaran.”

Imran Ismail juga menyokong pandangan KPMAIWP dengan berkata, “Graduan KPMAIWP berjaya menunjukkan keterampilan dengan adanya sokongan seperti ini. Ikhlas.com yakin bahawa usahasama seperti ini pastinya dapat memberi dorongan kepada para pelajar dan keluarga mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan.”

Turut menerima sumbangan daripada AG Nutrition Foundation adalah para pelajar sekolah menengah yang diwakili oleh Persatuan Kebajikan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS) yang berjumlah RM20,000. Para pelajar sekolah menengah ini menerima RM200 seorang daripada sumbangan ini. Turut diraikan adalah lima (5) orang anak angkat daripada program Ikhlas Untukmu yang menerima sumbangan komputer riba.

Dato’ Iskandar Halim Sulaiman, Pengerusi AG Nutrition International dalam ucapannya berkata, “Kami berharap agar sumbangan kita pada hari ini dapat melahirkan penyumbang zakat di masa hadapan.”

 

Tarikh: 30 Oktober 2025
Sumber: Bahagian Perancangan Strategik & Komunikasi

 

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.