Program Opening Young Eyes (OYES!) Buka Mata Anak-Anak Yatim Teroka Peluang Ke Menara Gading di KPMAIWP

Program Opening Young Eyes (OYES!) Buka Mata Anak-Anak Yatim Teroka Peluang Ke Menara Gading di KPMAIWP

KUALA LUMPUR, 9 September 2026 — Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (YATIM) membuktikan komitmen dalam memperkasa masa depan modal insan menerusi penganjuran Program Opening Young Eyes (OYES!) yang berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Program berteraskan motivasi dan pendidikan luar kelas ini dirangka khusus untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada golongan anak-anak yatim agar mereka tidak merasa terpinggir dalam merancang hala tuju kerjaya dan akademik selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis bermakna ini telah diserikan dengan kehadiran Ts. Yuriny bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, bersama Encik Sallehudin Othman,  Pengarah Urusan YATIM, serta turut dihadiri oleh pihak pengurusan tertinggi KPMAIWP dan warga KPMAIWP. Kehadiran figura penting ini bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat para pelajar, malah menunjukkan keprihatinan yang mendalam dari pihak yayasan dalam memastikan nasib dan masa depan pendidikan anak-anak yatim terus terbela.

Dalam ucapan penuh bermakna pada majlis tersebut, Ts. Yuriny bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, sempat menitipkan pesanan berharga kepada para peserta dengan menegaskan bahawa “pendidikan dapat mengubah kehidupan”. Beliau menggalakkan anak-anak ini agar terus menanam azam yang tinggi untuk mengubah nasib keluarga melalui pencapaian akademik.

Seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim (kematian ibu, bapa, atau kedua-duanya sekali) dari Tingkatan 4 dan 5 telah dipilih untuk menyertai program menimba ilmu ini. Pelajar yang hadir ini datang dari empat buah sekolah menengah terpilih, iaitu SMK Taman Kosas, SMK Bandar Rinching, SMK Taman Jasmin 2, dan SMK Bandar Tun Hussein Onn 2. Pemilihan kumpulan sasaran pada peringkat usia remaja ini amat bertepatan sekali kerana ia merupakan fasa kritikal di mana para pelajar mula membuat keputusan penting mengenai laluan pendidikan dan arah tujuan kerjaya.

Menyokong penuh usaha murni ini, Encik Sallehudin Othman, Pengarah Urusan YATIM turut menitipkan pesan inspirasi buat para pelajar supaya “jangan berhenti belajar walaupun sudah tamat persekolahan”, kerana ilmu adalah kunci utama kejayaan masa depan.

Antara intipati utama yang paling dinanti-nantikan oleh para peserta adalah slot taklimat khusus mengenai institusi pengajian tinggi yang disampaikan dengan penuh bertenaga oleh Puan Norashikin bt Azmi. Menerusi taklimat tersebut, para pelajar didedahkan secara terperinci mengenai sistem pembelajaran yang diamalkan di KPMAIWP.

Puan Norashikin memberi penerangan satu persatu jenis kursus atau bidang pengajian yang ditawarkan di KPMAIWP, merangkumi pelbagai program berprospek kerjaya tinggi yang menepati keperluan pasaran industri masa kini. Selain itu, taklimat ini turut merungkai persoalan penting yang sering menjadi tanda tanya kepada pelajar dan penjaga, iaitu berkaitan struktur kos pengajian, yuran, serta pelbagai bentuk inisiatif bantuan kewangan, biasiswa, dan kemudahan tajaan yang boleh dimohon oleh pelajar sepanjang pengajian mereka di sana.

Tidak ketinggalan, beliau turut berkongsi pelbagai pencapaian cemerlang serta anugerah-anugerah berprestij yang pernah dirangkul oleh KPMAIWP. Pengkongsian kejayaan ini sengaja diketengahkan bagi menanam rasa bangga, membakar semangat, dan mencetuskan minat mendalam dalam diri setiap peserta untuk menjadikan KPMAIWP sebagai destinasi pilihan utama menyambung pelajaran kelak.

Selesai sesi taklimat di dewan, program diteruskan dengan aktiviti lapangan yang dinamik, iaitu slot Campus Buddy serta aktiviti interaktif bersama Puan Faizura Binti Rohaizad dan fasilitator dari kalangan pelajar semester 6 KPMAIWP. Menerusi modul ini, para fasilitator telah membawa para pelajar mengelilingi kawasan sekitar kampus KPMAIWP bagi merasai sendiri suasana, rentak, dan gaya hidup sebenar warga institusi pengajian tinggi.

Para pelajar teruja melihat dengan lebih dekat suasana persekitaran kampus, kemudahan fasiliti yang moden, serta kemudahan asrama yang disediakan untuk selesa menghuni sepanjang pengajian. Pengalaman lawatan ini secara tidak langsung membantu meredakan perasaan gementar atau gentar dalam kalangan pelajar terhadap alam universiti, sebaliknya menyuntik keyakinan bahawa mereka juga mampu berjaya melangkah jauh sekiranya mempunyai disiplin dan dorongan yang betul.

Secara keseluruhan, penganjuran Program di KPMAIWP ini bukan sekadar lawatan sambil belajar, malah ia berfungsi sebagai platform intervensi awal yang strategik. Menerusi pendedahan yang telus dan panduan hala tuju yang jelas, program ini berhasrat besar untuk membantu anak-anak yatim ini membuat pemilihan akademik yang tepat sejak dari awal, sekaligus mengelakkan berlakunya gejala keciciran selepas mereka menamatkan peperiksaan SPM kelak.

Diharapkan agar segala ilmu, maklumat, dan suntikan semangat yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi kompas panduan buat anak-anak hebat ini dalam merangka impian serta cita-cita mereka dengan lebih teratur dan cemerlang. Usaha berterusan seperti ini diharap dapat terus diperluaskan oleh YATIM dan rakan strategik demi memastikan golongan anak-anak yatim terus mendapat tempat yang istimewa dalam arus perdana pendidikan negara.

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.