CEO TALK BERSAMA IKHLAS.COM BUKA LALUAN LATIHAN INDUSTRI DAN KERJAYA KEPADA PELAJAR KPMAIWP

CEO TALK BERSAMA IKHLAS.COM BUKA LALUAN LATIHAN INDUSTRI DAN KERJAYA KEPADA PELAJAR KPMAIWP

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) terus memperkukuh usaha dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar menerusi penganjuran CEO Talk bersama Ikhlas.Com. Program ini memberi pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai keperluan industri, persediaan memasuki alam pekerjaan serta peluang latihan industri dan kerjaya dalam bidang Haji dan Umrah.

Ikhlas.Com merupakan salah satu cabang perniagaan di bawah AirAsia yang memberi fokus kepada keperluan dan gaya hidup komuniti Muslim, dengan menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan perjalanan dan pengalaman mesra Muslim, termasuk perkhidmatan Haji dan Umrah.

Penglibatan Ikhlas.Com dalam program ini memberi nilai tambah kepada pelajar KPMAIWP kerana ia membuka ruang untuk mereka memahami dengan lebih dekat keperluan sebenar industri serta peluang yang tersedia dalam sektor Haji dan Umrah. Malah, hubungan antara KPMAIWP dan Ikhlas.Com turut memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan industri melalui latihan industri, selain meneroka potensi kerjaya bersama organisasi berkenaan.

Program ini turut memberi fokus kepada pelajar yang bakal menjalani latihan industri, dengan Ikhlas.Com mengadakan sesi open interview bagi mengenal pasti calon yang berpotensi untuk menjalani latihan industri bersama organisasi tersebut. Peluang ini membolehkan pelajar mendapatkan pengalaman bekerja secara langsung dalam industri sebenar, di samping membina kemahiran, jaringan profesional dan pemahaman yang lebih luas mengenai dunia pekerjaan.

 

Perkongsian CEO Ikhlas.Com: Memahami Keperluan Industri

Sesi dimulakan dengan perkongsian oleh Encik Ikhlas Kamarudin, CEO Ikhlas.Com, yang berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri serta potensi pelajar KPMAIWP untuk membina kerjaya, khususnya dalam industri Haji dan Umrah. Beliau turut menekankan bahawa kebolehpasaran seseorang pelajar bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi turut dipengaruhi oleh kemahiran insaniah, sikap profesional, keupayaan berkomunikasi serta kesediaan untuk memahami keperluan sebenar industri.

Perkongsian tersebut memberi gambaran kepada para pelajar bahawa industri Haji dan Umrah menawarkan pelbagai peluang kerjaya dan memerlukan tenaga kerja yang mempunyai gabungan pengetahuan, kemahiran serta nilai profesional yang baik.

 

Persediaan Memasuki Alam Pekerjaan

Program diteruskan dengan sesi perkongsian bersama Encik Inderjit Singh, wakil AirAsia MOVE, yang memberikan panduan praktikal kepada para pelajar mengenai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Antara perkara yang dikongsikan termasuk cara menghasilkan resume yang baik dan profesional, kaedah memohon pekerjaan serta perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan oleh calon ketika proses permohonan kerja.Para pelajar turut diberikan panduan mengenai kepentingan menyesuaikan resume dengan jawatan yang dipohon serta menampilkan kekuatan dan kemahiran yang relevan bagi menarik perhatian bakal majikan.

Perkongsian ini amat bermanfaat khususnya kepada pelajar yang bakal menjalani latihan industri kerana ia membantu mereka membuat persediaan lebih awal sebelum berdepan dengan proses permohonan dan temu duga bersama organisasi.

 

Menyelami Dunia Kerjaya Mutawif

Sesi seterusnya menampilkan Ustaz Iqbal Hanif, yang berkongsi pengalaman dan perjalanan beliau sebagai mutawif bersama Ikhlas.Com.

Beliau berkongsi serba sedikit mengenai pengalaman serta cabaran dalam menjalankan tugas sebagai mutawif, termasuk aspek pengurusan jemaah, komunikasi, kesabaran dan tanggungjawab ketika mengendalikan jemaah di Tanah Suci.

Perkongsian tersebut memberikan gambaran yang lebih dekat kepada para pelajar tentang realiti kerjaya dalam industri Haji dan Umrah, di samping membuka perspektif bahawa bidang ini memerlukan bukan sahaja penguasaan ilmu, tetapi juga kemahiran komunikasi, pengurusan dan nilai amanah.

Daripada Latihan Industri kepada Peluang Kerjaya

Antara keistimewaan kerjasama antara KPMAIWP dan Ikhlas.Com ialah peluang yang diberikan kepada pelajar untuk menjalani latihan industri secara langsung dalam industri Haji dan Umrah.

Ramai pelajar KPMAIWP sebelum ini telah mendapat peluang menjalani latihan industri bersama Ikhlas.Com, sekali gus membolehkan mereka memperoleh pengalaman sebenar serta memahami operasi industri dari perspektif organisasi.

Lebih menarik, pengalaman latihan industri tersebut turut berpotensi menjadi pintu masuk kepada peluang kerjaya bersama Ikhlas.Com. Sepanjang menjalani latihan, pelajar berpeluang membina jaringan profesional, mengembangkan kemahiran serta menunjukkan potensi dan kebolehan mereka kepada pihak industri.

Seiring dengan itu, sesi open interview bagi penempatan latihan industri yang diadakan turut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara terus dengan pihak Ikhlas.Com dan meneroka peluang penempatan yang bersesuaian dengan bidang serta kemahiran mereka.

Inisiatif ini selari dengan usaha KPMAIWP untuk memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu akademik, tetapi turut mendapat pendedahan industri sebenar, pengalaman kerja dan peluang membina laluan kerjaya seawal peringkat pengajian.

Secara keseluruhannya, CEO Talk bersama Ikhlas.Com menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri, di samping membantu para pelajar memahami keperluan pasaran kerja serta mengenal pasti peluang yang tersedia dalam industri Haji dan Umrah.

Kerjasama ini diharapkan dapat terus diperkukuh pada masa akan datang bagi membuka lebih banyak peluang latihan industri, jaringan profesional dan kerjaya kepada pelajar KPMAIWP.

Melalui pendekatan sebegini, KPMAIWP terus komited melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi turut berkemahiran, berdaya saing, mempunyai pengalaman industri dan bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

 

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.