Jejualley Fest 2026: Pelajar SPPT KPMAIWP Sahut Cabaran Berniaga

Jejualley Fest 2026: Pelajar SPPT KPMAIWP Sahut Cabaran Berniaga

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2026 – Sekolah Perakaunan, Pengurusan dan Teknologi (SPPT), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) hari ini berjaya menganjurkan program keusahawanan “Jejualley Fest 2026”. Program yang berlangsung dengan meriah ini diadakan di perkarangan tempat letak kereta dan Lobi Kolej Kediaman Siswi KPMAIWP.

Program keusahawanan ini melibatkan penyertaan aktif daripada para pelajar yang mengikuti kursus keusahawanan (ENT300) bagi program DBS, DIA, DIBA, dan DACC. Kehadiran Puan Nur Hidayah binti Johari, Ketua Sekolah SPPT bersama barisan pensyarah turut menyuntik semangat kepada para pelajar yang terlibat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Amzari bin Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pentadbiran & Operasi) KPMAIWP. Beliau dalam ucapannya turut menyampaikan amanat penting serta kata-kata semangat kepada para pelajar dalam menguruskan perniagaan mereka. Program ini melibatkan sebanyak 19 buah gerai jualan yang diusahakan oleh para pelajar dengan menawarkan bermacam-macam jenis makanan dan juadah menarik. Suasana di tapak jualan amat meriah dengan kunjungan daripada warga kolej yang tidak melepaskan peluang untuk memberikan sokongan.

Penganjuran “Jejualley Fest 2026” ini diwujudkan bagi memenuhi penilaian kursus serta selaras dengan hasil pembelajaran bagi subjek keusahawanan yang diambil. Selain memenuhi keperluan akademik, program praktikal sebegini bertujuan memberikan pendedahan secara nyata kepada para pelajar mengenai cabaran sebenar dalam membina sebuah perniagaan yang berjaya.

Semoga pengalaman berharga yang ditimba sepanjang program ini mampu menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus mengasah bakat dalam bidang perniagaan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, dan diharapkan pendedahan awal ini dapat melahirkan generasi usahawan muda yang berdaya saing, inovatif, serta sedia memacu ekonomi ummah pada masa hadapan.

 

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.