Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) terus memperluas jaringan antarabangsa melalui inisiatif kerjasama baharu bersama Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia. Pada 18 Oktober 2025, delegasi KPMAIWP telah mengadakan kunjungan rasmi ke IAIN Pontianak bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat serta kecemerlangan akademik di rantau ASEAN.
Perbincangan tertumpu kepada beberapa bidang utama termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan, program pertukaran pelajar dan staf akademik, penyelidikan bersama serta inisiatif akademik dalam bidang pendidikan Islam dan profesional. Usaha ini sejajar dengan misi KPMAIWP untuk melahirkan profesional Muslim yang berdaya saing serta memperkasa kesejahteraan sosioekonomi ummah melalui pendidikan berkualiti berasaskan nilai.
Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen KPMAIWP terhadap kerjasama serantau, bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan seiring aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa golongan belia melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran. Melalui jaringan antarabangsa seperti ini, KPMAIWP berhasrat untuk menyediakan peluang pendedahan dan mobiliti yang lebih luas kepada pelajar serta warga akademiknya, di samping memupuk pertukaran ilmu dan amalan terbaik antara Malaysia dan Indonesia.
Kedua-dua institusi dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur dalam masa terdekat. Pemeteraian MoU ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memperkukuh hubungan akademik, memacu pertumbuhan bersama, serta meningkatkan kedudukan KPMAIWP sebagai pusat pendidikan Islam dan profesional bertaraf serantau.
Melalui jalinan strategik ini, KPMAIWP menyatakan komitmennya untuk menerajui agenda pendidikan inklusif dan relevan di peringkat global, yang berteraskan kecemerlangan, etika serta khidmat kepada ummah.
Tarikh: 18 Oktober 2025
Sumber: Bahagian Perancangan Strategik & Komunikasi



