KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) hari ini berbesar hati menerima kunjungan rombongan lawatan sambil belajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning, Perak. Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai persekitaran pengajian tinggi di KPMAIWP, di samping membekalkan motivasi dan pemantapan sahsiah diri kepada para pelajar sebelum melangkah ke alam menara gading.
Antara pengisian utama program berkenaan adalah sesi perkongsian ilmiah dan motivasi yang disampaikan oleh Puan Faizura binti Rohaizad, Ketua Sekolah Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan KPMAIWP. Menerusi ceramah bertajuk pemantapan harga diri (self-worth), beliau menekankan kepentingan menghargai serta menyayangi diri sendiri menerusi perlakuan yang positif. Dalam perkongsian tersebut, beliau menggariskan beberapa teras penting seperti menjadikan agama sebagai panduan hidup, memilih persekitaran rakan yang baik untuk sama-sama berjaya, membina ketahanan mental untuk melawan kata-kata negatif, sentiasa bersyukur, serta mengamalkan teknik pernafasan 4-7-8 untuk mengawal tekanan emosi.
Bagi merancakkan lagi sesi motivasi, Puan Faizura turut menjemput enam orang pelajar Semester 6 dari jurusan Kaunseling Islam KPMAIWP untuk tampil berkongsi pengalaman. Sesi interaktif ini memberi ruang kepada para pelajar SMK Air Kuning untuk mendengar sendiri kisah kejayaan, penetapan visi dan misi kehidupan, serta cabaran pembelajaran di peringkat kolej. Selain sesi motivasi, para wakil pelajar KPMAIWP turut memberikan penerangan menyeluruh mengenai penawaran program akademik, kemudahan kampus, serta pelbagai bentuk bantuan zakat dan kebajikan pelajar yang disediakan oleh MAIWP.
Pihak pengurusan KPMAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Guru Kaunseling SMK Air Kuning, Encik Zainuddin Zakaria Samsudin serta barisan guru pengiring dan pelajar SMK Air Kuning atas lawatan ini. Semoga segala ilmu, kemahiran, dan pendedahan yang diberikan menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat.