KPMAIWP Tunai Zakat Perniagaan Kepada PPZ-MAIWP, Perkasa Sosioekonomi Ummah

KPMAIWP Tunai Zakat Perniagaan Kepada PPZ-MAIWP, Perkasa Sosioekonomi Ummah

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2026 – Komitmen sektor korporat dan pendidikan dalam memperkasa agenda ekonomi ummah terus terserlah apabila Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) tampil menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini.

Simbolik penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM200,060.00 melalui mock cheque tersebut telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Amzari bin Aziz, bagi pihak Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP kepada, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam bin Ab Rahman, Pengerusi PPZ-MAIWP.

Majlis penyampaian tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah binti Rosli serta YBhg. Datuk Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer.

Penyerahan zakat tersebut berlangsung sempena Majlis Zakat Korporat 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Majlis tersebut menghimpunkan syarikat-syarikat korporat yang konsisten melaksanakan tanggungjawab zakat sebahagian daripada komitmen terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam.

KPMAIWP merupakan antara 22 buah syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan, menyumbang kepada jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM49,901,747.28 pada majlis berkenaan.

Sumbangan zakat yang diterima daripada KPMAIWP ini bukan sahaja mencerminkan tahap pematuhan syariah yang tinggi, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperluas agihan dan manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan, sekali gus membantu mendepani isu miskin bandar di Wilayah Persekutuan.

Melalui pelaksanaan tanggungjawab murni ini, KPMAIWP bukan sahaja terus cemerlang sebagai institusi yang melahirkan modal insan berilmu, malah membuktikan peranan aktif mereka dalam membina ekosistem sosioekonomi masyarakat Islam yang lebih mampan, sejahtera, dan inklusif.

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.