KUALA LUMPUR, 29 Jun 2026 – Komitmen institusi pendidikan dalam melahirkan modal insan cemerlang terus diperkasa apabila Sekolah Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan (SPISK), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) berjaya menganjurkan Majlis Anugerah Dekan Sekolah Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan bertempat di Dewan Kuliah 1, Bangunan Pentadbiran, KPMAIWP pada hari ini.
Encik Mohamad Amzari bin Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pentadbiran & Operasi) telah menyampaikan amanat dan seterusnya merasmikan majlis tersebut. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para penerima yang disempurnakan oleh Puan Rohayu binti Yusoff, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik & Penyelidikan).
Majlis penuh gilang-gemilang ini diadakan khusus bagi memberi pengiktirafan tertinggi kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi akademik yang amat membanggakan. Seramai 258 orang pelajar yang mendapat keputusan GPA 3.5 ke atas untuk Sesi April–September 2025 dan September 2025–Januari 2026 telah diraikan dalam majlis tersebut.
Penganjuran anugerah ini bukan sahaja mencerminkan standard akademik yang tinggi di KPMAIWP, malah menjadi pemangkin motivasi yang kuat untuk para pelajar terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Keprihatinan pihak pengurusan dalam meraikan pencapaian ini membuktikan peranan aktif institusi tersebut dalam memberikan penghargaan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum, dan sahsiah.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus menuntut ilmu dengan penuh iltizam, tekun, dan konsisten. Bagi pelajar yang lain, jadikan pencapaian hari ini sebagai inspirasi dan dorongan untuk membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai dengan usaha yang gigih. Teruskan melangkah, hargai setiap proses pembelajaran, dan jadilah pemacu masa depan ummah yang berbakti serta berwibawa.