PROGRAM BICARA INTEGRITI MEMPERKASA BUDAYA INTEGRITI DARI HATI KE ORGANISASI

PROGRAM BICARA INTEGRITI MEMPERKASA BUDAYA INTEGRITI DARI HATI KE ORGANISASI

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2026 – Bahagian Audit Dalam & Governans, Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) telah menganjurkan Program Bicara Integriti Siri 1/2026 yang menampilkan YBrs. Ustazah Hajjah Muzayyanah binti Haji Abdullah sebagai penceramah jemputan. Program yang bertemakan “Budaya Integriti: Dari Hati ke Organisasi” ini memberi ruang kepada warga KPMAIWP untuk menghayati dan memahami dengan lebih mendalam kepentingan nilai integriti dalam kehidupan serta budaya kerja

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini bertujuan memberikan penghayatan kepada warga KPMAIWP mengenai kepentingan nilai integriti dalam membentuk peribadi serta budaya kerja yang amanah, bertanggungjawab dan beretika.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Ustazah Muzayyanah mengupas kepentingan keikhlasan dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab, khususnya dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan. Beliau turut menekankan bahawa integriti bukan sekadar berkaitan dengan pematuhan kepada peraturan organisasi, sebaliknya bermula daripada hati dan nilai yang dipegang oleh setiap individu.

Menurut beliau, setiap tugasan yang dilaksanakan perlu disertai dengan niat yang baik serta rasa tanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan. Sikap jujur, ikhlas dan amanah bukan sahaja membentuk kepercayaan dalam sesebuah organisasi, malah mencerminkan akhlak dan keperibadian seseorang.

Turut ditekankan ialah kepentingan menjaga hubungan dengan Allah SWT dalam melaksanakan tanggungjawab pekerjaan. Kesibukan dalam bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kewajipan sebagai seorang Muslim, khususnya dalam menjaga solat dan ibadah harian.

Perkongsian tersebut turut mengajak warga KPMAIWP untuk melihat pekerjaan sebagai satu bentuk amanah dan ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang betul, penuh tanggungjawab serta berlandaskan nilai-nilai Islam. Keseimbangan antara tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab kepada Allah SWT perlu sentiasa diberi perhatian bagi membentuk warga kerja yang bukan sahaja kompeten, tetapi turut mempunyai nilai integriti dan sahsiah yang baik.

Program Bicara Integriti Siri 1/2026 ini diharapkan dapat memberikan kesedaran dan inspirasi kepada seluruh warga KPMAIWP untuk menerapkan budaya kerja berintegriti bermula daripada diri sendiri. Nilai keikhlasan, amanah, disiplin dan tanggungjawab yang dipupuk secara konsisten mampu menjadi asas dalam membentuk sebuah organisasi yang lebih beretika, dipercayai dan cemerlang.

Penganjuran program seumpama ini turut mencerminkan komitmen KPMAIWP dalam memperkukuh budaya integriti serta membudayakan nilai-nilai murni dalam kalangan warga kerja, selaras dengan usaha melahirkan sebuah organisasi yang berteraskan kecemerlangan, amanah dan nilai Islam.

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.