KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Bahagian Jaminan Kualiti (QAD), Pejabat Pendaftar, Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penilaian Program Sijil Aplikasi Muamalat (SAM) 2026 bertempat di Bilik Seminar, KPMAIWP.
Bengkel ini melibatkan Penilai Luar Program, YBrs. Dr. Haji Razli bin Ramli dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian muamalat. Beliau turut berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pakar rujuk kepada institusi perbankan Islam, sekali gus memberikan nilai tambah kepada proses penilaian dan penambahbaikan program.

Turut hadir ialah Ketua Sekolah Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan (SPISK), Timbalan Ketua Sekolah, Ketua Program, barisan pensyarah serta tiga orang alumni Program SAM yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Bengkel ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan antara penilai luar dengan pihak pengurusan akademik bagi menilai pelaksanaan program serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dari segi kandungan kursus dan kaedah penyampaian pengajaran.
Input dan pandangan yang dikongsikan oleh penilai luar, khususnya berkaitan perkembangan semasa dalam bidang muamalat dan perbankan Islam, diharap dapat membantu pihak pengurusan program memperkukuh kualiti kurikulum serta memastikan kandungan pembelajaran kekal relevan dengan keperluan industri.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen KPMAIWP dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap kualiti program akademik bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri muamalat di Malaysia.