Santuni OKU Penglihatan: KPMAIWP Pupuk Jiwa Sukarelawan Pelajar Menerusi Program “OKU-Masyarakat Berpisah Tiada”

Santuni OKU Penglihatan: KPMAIWP Pupuk Jiwa Sukarelawan Pelajar Menerusi Program “OKU-Masyarakat Berpisah Tiada”

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2026 – Komitmen Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dalam membentuk pelajar yang prihatin dan berjiwa sukarelawan terus dipupuk menerusi penganjuran program “OKU-Masyarakat Berpisah Tiada” hasil kerjasama bersama Persatuan Kebangsaan Pencegahan Buta (PERTIS), yang berlangsung pada hari ini.

Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada keperluan kursus MPU2113 Penghayatan Etika dan Peradaban, dengan memberi penekanan kepada penglibatan aktif pelajar sebagai sukarelawan dalam membina kesedaran serta adab pergaulan bersama golongan Orang Kurang Upaya Penglihatan. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada slot “Kenali OKU Penglihatan” serta simulasi menyantuni golongan tersebut, untuk memberi pengalaman sebenar kepada pelajar dalam membantu OKU Penglihatan bergerak dengan lebih selamat. Sesi program ini disempurnakan dengan penyerahan cenderahati oleh Puan Rohayu Yusoff, Timbalan Ketua Pegawai (Eksekutif Akademik & Penyelidikan), sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama yang terjalin.

Kerjasama antara KPMAIWP dan PERTIS bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan daripada hubungan baik yang telah lama diwujudkan menerusi dua program terdahulu, iaitu Sulam Dakwah dan Sukarelawan PEP Mesyuarat Agung PERTIS.

Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada pelajar, malah turut menjadi pemangkin keyakinan diri dalam melaksanakan pembangunan program bersama komuniti luar. Ia juga mencerminkan peranan aktif KPMAIWP dalam memperluaskan jaringan strategik bersama pertubuhan luar, sekaligus mempromosikan imej kolej sebagai institusi yang inklusif dan prihatin terhadap isu kemasyarakatan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang terlibat sebagai sukarelawan dalam program ini. Semoga pendedahan yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, seterusnya melahirkan generasi yang lebih peka, prihatin, dan berwibawa dalam berkhidmat kepada masyarakat pada masa hadapan.

IKHLAS | ILTIZAM | IHTIRAM | IHSAN | ITTIHAD

#KPMAIWP #OKUMasyarakatBerpisahTiada #PERTIS #OKUPenglihatan #JiwaSukarelawa

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.