Menteri Agama Rasmi Laluan Khas KPMAIWP–MAIAS Memperkasa Akses Pelajar kepada Aktiviti Kerohanian

Menteri Agama Rasmi Laluan Khas KPMAIWP–MAIAS Memperkasa Akses Pelajar kepada Aktiviti Kerohanian

KUALA LUMPUR, 25 September 2025 – Suasana penuh makna dan semangat komuniti mewarnai Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) apabila YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), merasmikan Laluan Khas yang menghubungkan KPMAIWP dengan Masjid Al-Imam Ash-Shafie (MAIAS).

Laluan ini bertujuan memberi kemudahan kepada pelajar KPMAIWP untuk mengakses aktiviti masjid dan program kerohanian, selain memberikan keselesaan kepada pengguna laluan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar KPMAIWP.

Perasmian laluan ini bersempena Majlis Kesejahteraan Lestari, yang menampilkan pelbagai aktiviti bermakna bagi memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan perkembangan kerohanian. Antara pengisian menarik ialah:

  • Upacara Penanaman Pokok: Bersama Malaysian Nature Society (MNS), pelajar dan kakitangan menanam pokok sebagai simbol komitmen KPMAIWP terhadap kelestarian. Upacara ini juga menandakan perasmian Program Penghijauan Kampus dengan penajaan 1,000 pokok oleh MNS.
  • Solat Zuhur Berjemaah: Pelajar menunaikan solat di Masjid Al-Imam Ash-Shafie, diiringi tausiah ringkas yang menekankan kepentingan ilmu, akhlak, dan kelestarian dalam kehidupan seharian.

Hadir sama pada majlis ini ialah rakan strategik, serta para pemimpin iaitu YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP; YBhg. Datuk Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; YBrs. Tuan Haji Zuri Zabuddin bin Budiman, Pengerusi KPMAIWP; dan Prof. Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP.

Inisiatif ini menegaskan komitmen KPMAIWP bukan sahaja terhadap kecemerlangan akademik, tetapi juga dalam memupuk kesedaran kerohanian dan kelestarian di kalangan pelajar, mencerminkan pendekatan pendidikan holistik dan pembangunan komuniti yang menyeluruh.

 

Tarikh: 25 September 2025
Sumber: Bahagian Perancangan Strategik & Komunikasi

 

Lain-Lain Berita

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.