KUALA LUMPUR, 13 Mei 2025 – Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) pada hari ini melakar sejarah apabila telah digabungkan dengan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) menerusi Majlis Penstrukturan Semula Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah naungan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), dijenamakan sebagai Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP).
Penggabungan ini merupakan usaha MAIWP memperkasa pembangunan modal insan golongan asnaf sebagai satu pelan transformasi strategik yang menyasarkan pengurusan lebih cekap serta penawaran program kemahiran dan teknikal yang lebih relevan dan berdaya saing kepada komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan.
Momen bersejarah ini disaksikan melalui gimik Pecah Tembok antara IKB dan KPBKL oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang melambangkan penyatuan dua institusi ini dalam usaha melahirkan generasi asnaf yang lebih berdaya saing.
Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIWP dan KPBKL, yang diwakili oleh En. Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP dan Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL. Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, dan YBrs. Tuan Haji Zuri Zabuddin bin Budiman, Pengerusi KPBKL.
Tarikh: 13 Mei 2025
Sumber: Bahagian Perancangan Strategik & Komunikasi





