KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) telah menganjurkan Program Sambutan Bulan Pemakanan, Minggu Penyusuan Susu Ibu dan Healthy Eating Responsibility for Women (HER) bertempat di Dewan Kuliah 1, KPMAIWP, hari ini.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Datin Dr. Haliza binti Abdul Manaf, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P). Turut hadir ialah YBrs. Ts. Yuriny bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, serta Dr. Suhana binti Sulaiman, wakil Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa.

Program ini bertujuan memperkukuh advokasi dan literasi pemakanan dalam kalangan masyarakat, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat, pencegahan masalah kesihatan berkaitan pemakanan, sokongan terhadap penyusuan susu ibu serta pemerkasaan kesihatan wanita menerusi inisiatif HER.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi memeriahkan program, antaranya aktiviti fizikal Musical Chair, sesi Pocket Talk bertajuk “Pemakanan Gen Z (Makan Je Tapi Make It Healthy)” yang disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan JKWPKL&P, Puan Syazwani binti Magini, serta pertandingan video pemakanan sihat yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi KPMAIWP.

Selain itu, program turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan dan peserta Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit 2026, yang telah berlangsung selama enam bulan dalam kalangan warga kerja JKWPKL&P sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan KPMAIWP dan JKWPKL&P dalam memperluas pendidikan kesihatan serta membudayakan amalan hidup sihat, khususnya dalam kalangan golongan belia dan warga kerja.
Melalui program seumpama ini, warga KPMAIWP dan masyarakat diharap dapat mengamalkan pemilihan makanan yang lebih sihat, memahami kepentingan penyusuan susu ibu serta memberikan perhatian sewajarnya terhadap penjagaan kesihatan wanita demi melahirkan generasi yang lebih sihat pada masa hadapan.